Kejayaan anak-anak kita membaca sebenarnya bergantung juga kepada bahan yang sesuai, kaedah yang tepat, kesungguhan kita dan kesediaan membaca anak-anak pada usia mereka masih kecil.

Kita harus sedar bahawa "Celik huruf bukanlah satu anugerah, tetapi ia adalah hak setiap kanak-kanak" yang harus ditunaikan oleh setiap ibu bapa atau guru.

Wednesday, July 8, 2009

Didik Anak Ikut Usia


Ketika otak sedang berkembang inilah masa paling sesuai untuk mendidik dan mengasuh anak-anak dengan perkara-perkara yang baik serta merangsang kebolehannya dengan pesat.

Menurut bekas Metron Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Surinah Sangari, yang masih aktif memberikan ceramah berhubung dengan ibu dan anak, yang ditemui baru-baru ini di Subang Jaya, kesempatan tersebut elok diambil oleh ibu dan ayah untuk membantu anak mengasuh kebolehan mentalnya melalui pendidikan bahasa kerana dalam usia ini mereka cepat dapat.

"Dalam hubungan ini, bukan pula bermakna perkembangan mental selepas itu terbantut dan terhenti kerana proses ini berlaku seumur hidup seseorang insan. Sebagai contoh banyak orang berusia berjaya melanjutkan pelajaran dengan cemerlang,'' katanya.

Tidak dinafikan ada anak-anak yang ketika kecil memang cerdas tetapi apabila besar kecerdasan mereka merosot. Ini berlaku kerana kurang ransangan di sekolah atau di rumah.

Anak berada di sekolah cuma lima jam selebihnya di rumah. Ibu bapa perlu menerapkan pelbagai bentuk pendidikan umpamanya pendidikan sosial, disiplin, mengenal sesuatu dan sebagainya.

Beliau turut menekankan tentang betapa ibu bapa patut meninggalkan budaya yang negatif agar tidak mempengaruhi anak kerana mereka turut mempelajari sesuatu daripada apa yang dilakukan oleh orang dewasa.

"Ibu bapa adalah contoh terbaik anak-anak, oleh itu kita perlu bertingkah laku seperti yang kita hendak anak-anak lakukan.

"Dalam usia ini sesuai diterapkan dengan disiplin dan peradaban yang baik, jangan sampai anak memecahkan barang orang pun dibiarkan. Perangai begini akan terbawa-bawa hingga dewasa,'' tegas Surinah.

Sebenarnya asuhan disiplin hendaklah diberikan bermula dari anak masih kecil lagi. Antaranya kebiasaan kebanyakan ibu apabila bayi menangis terus saja diangkat tanpa mencari punca tangisannya menyebabkan anak merasa begitu mudah memancing ibunya. Perlakuan ini samalah juga dengan memberi apa saja yang dimahukan dalam hidup.

Sebaiknya kalau anak menangis cari sebab mengapa dia menangis adakah kerana lapar, basah, digigit nyamuk atau kurang sihat.

Alihkan perhatiannya agar tidak menangis seperti berikan permainan yang diminati.

Beliau menjelaskan, peringkat usia dua tahun dipanggil 'peringkat negatif' kerana anak menganggap dirinya cerdik dan mahu melakukan sesuatu untuk menguji diri serta kebolehannya. Pada peringkat ini juga mereka seolah-olah mahu mengetahui sejauh mana ibu bapa boleh bertoleransi dengan kerenahnya.

Beliau memberi contoh, jika membawa anak-anak ke kedai yang ada menjual permainan sesetengah anak-anak akan menangis dan bergolek di lantai jika kehendak mereka tidak dipenuhi.

Bagi mengelakkan malu atau anak terus meragam, ada ibu bapa terpaksa membelikan apa yang diminta.

Tindakan ini kurang tepat, sebaliknya gunakan kebijaksanaan untuk menerangkan kepada anak mengapa permainan ini tidak boleh dibeli dan cari alternatif lain bagi mengatasi masalah. Sebaiknya elakkan membawa anak ke sana lagi.

Pada peringkat tersebut anak-anak sudah pandai berkawan dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Satu perkara yang perlu dipelajari oleh mereka adalah berkongsi permainan. Sebaiknya belikan permainan yang boleh dikongsi bersama kawan.

Selain bergaul mereka juga belajar melalui bermain, satu perkara yang boleh dikongsi bersama ialah belajar menunggu giliran.

Ibu bapa dahulu sering mengasingkan anak kiranya tetamu datang berkunjung atas alasan menganggu tetamu. Perbuatan ini tidak menggalakan aktiviti sosiolnya.

Sebaliknya libatkan anak duduk bersama ketika ibu melayan tetamu agar dia belajar disiplin, bagaimana bergaul dan bercakap dengan betul.

Satu lagi cara menggalakan mereka bersosial dengan membawa anak ke rumah kenalan atau keluarga bagi membiasakan mereka bergaul.

Semua ini amat mempengaruhi kehidupan hingga mereka besar kelak. Jika tidak dibiasakan sejak kecil, anak menjadi tidak selesa bergaul dengan saudara mara.

Implikasinya dapat dilihat ada anak yang tidak berminat untuk mengunjungi rumah datuk neneknya.

Satu lagi caranya libatkan anak dengan aktiviti sihat seperti sering menyertai pertandingan bercerita atau aktiviti fizikal agar berpeluang belajar berinteraksi dengan orang lain.

Latihan di meja makan juga penting agar anak memahami bagaimana bertertib ketika makan.

Sebagai ibu bapa seharusnya peka dengan pelbagai gejala kurang sihat seperti penganiayaan seks di kalangan anak-anak yang masih kecil.

Di kala anak sedang meningkat besar elok diterapkan pendidikan bagaimana mengawal keselamatan diri.

Ajar mereka tentang mengenal niat buruk orang yang tidak dikenali. Katakan kepadanya bukan semua orang boleh dianggap seperti ibu atau bapa.

Terangkan juga tentang keselamatan seksual, anak perempuan jangan ditinggalkan dengan sebarang orang. Jika perlu ditinggalkan pilihlah yang benar-benar boleh dipercayai.

Keadaan ibu bapa yang bekerja memaksa mereka menghantar anak ke taska kerana ketiadaan pembantu rumah. Sebaiknya pilihlah yang bertauliah.

Di sini bukan saja tempat meninggalkan anak tetapi pengasuh bertugas berperanan menggantikan tugas ibu (walaupun tugas ini tiada pengganti) mendidik kebiasaan yang baik kepada anak.

Bagi memenuhi peranan ini pilihlah yang memberikan didikan moral dan agama sesuai dengan perkembangan usia anak-anak.

0 comments:

Post a Comment

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama...

Saya mula berminat mendalami proses perkembangan intelek anak, sejak kandungan pertama pada 2006. Dengan membaca buku2 keluaran NURY, memahami cara pengajaran Glenn Doman dan menggunakan kaedah fonik Bacalah Anakku dalam pengajaran dan pendekatan mendidik anak..


-Nurul Huda Nordin-


Blog Widget by LinkWithin

networkedblogs

 

Recommended Product

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

My Blog List

Pendidikan Awal Kanak-Kanak Copyright © 2009 Shopping Bag is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal