Saya pernah bertanya kepada anak-anak saya apa ertinya kasih sayang dan jawapan yang mereka beri ialah:
- "Kasih sayang ialah bila kita melakukan aktiviti bersama-sama." ~ Siraj (sewaktu berusia 7 tahun)
- "Kasih sayang ialah apabila dua orang dewasa berkahwin, mempunyai anak dan hidup bahagia selamanya." ~ (Syarif (10 tahun)
- "Bila kita kasih dan sayang kepada seseorang, kita mengambil berat tentang dirinya dan berkongsi apa jua dengannya." (Safi, 12 tahun)
- "Saya merasa diri saya disayangi apabila Ayah atau Ummi memeluk atau memuji saya." ~ Alia (sewaktu usianya 15 tahun)
Jelas di sini, kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan PERBUATAN. Lebih-lebih lagi untuk anak kecil, mereka tidak tahu bagaimana caranya untuk menjelaskan erti ungkapan ini secara lisan, tetapi mereka tahu apakah itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang ialah apa yang dialami dan dirasainya.
Apa yang anak anda mahu lakukan dengan anda? Menanam pokok bawang untuk projek Sainsnya? Atau membaca sebuah buku cerita lucu dan kemudian pecah ketawa bersama-sama? Atau membuat dinosaur kertas mengikut model yang terdapat dalam buku origami yang baru dibeli? Atau mungkin membuat kentang putar untuk hidangan malam ini?
Beri peluang untuk anak anda memilih aktiviti yang ingin dilakukannya bersama anda. Jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta, tetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya. Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan mendalam di hati dan perasaan anda berdua.
0 comments:
Post a Comment