Kejayaan anak-anak kita membaca sebenarnya bergantung juga kepada bahan yang sesuai, kaedah yang tepat, kesungguhan kita dan kesediaan membaca anak-anak pada usia mereka masih kecil.

Kita harus sedar bahawa "Celik huruf bukanlah satu anugerah, tetapi ia adalah hak setiap kanak-kanak" yang harus ditunaikan oleh setiap ibu bapa atau guru.

Tuesday, November 24, 2009

Mengajar Anak Menipu

Menipu, kenapa anak menipu dan dari mana ia belajar menipu. Ini satu persoalan yang kita perlu bincangkan bersama dan perlu kita ambil perhatian.
KENAPA ANAK MENIPU?
Anak mula menipu kerana sebab-sebab tertentu. Di antaranya ialah:
  • Kerana takut tidak diterima (disapproval)
  • Kerana takut menghampakan orang lain, lebih-lebih lagi ibu dan ayah, atuk dan nenek
  • Kerana takut dihukum, dimarahi dan sebagainya
Situasi seperti ini mungkin sering berlaku;
“Adi, jangan la menangis sayang. Ibu dan Ayah hendak pergi kerja. Sekarang senyum dan tinggal baik-baik. Emak dan ayah suka dan sayang ada Adi kalau senyum macam ini.”
Jika ini diulang setiap kali Ibu dan ayah hendak pergi ke mana-mana sahaja tanpa membawa Adi bersama, Adi akan membuat keputusan;
  • Untuk mendapatkan kasih sayang Ibu dan Ayah, saya mesti berhenti menangis dan senyum.
  • Menangis adalah tanda lemah dan akan menyebabkan ibu dan ayah marah. Dengan itu, saya tidak akan menangis.
Adi tidak menangis lagi sungguhpun kadang kala sebak menahan perasaannya tetapi takut untuk menangis. Dia juga akan memaksa dirinya senyum walaupun ia tidak merasa ingin tersenyum dan dengan ini dia telah mula menipu.
Cara yang lebih baik ialah dengan ibu dan ayah menerangkan situasi dengan jelas dan tepat kepada anak
“Sayang, ibu dan ayah hendak pergi kerja. Adi kecil lagi dan dengan itu tidak dibenarkan mengikut emak dan ayah bekerja. Adi tinggal di rumah dan boleh bermain, boleh makan, boleh baca buku, dan juga boleh tidur. Nanti, jam 6 atau 7, Insya Allah, ibu dan ayah akan pulang.”
Dengan kata-kata begini, ucapkan salam dan ajar anak bersalam dan menyambut ucap salam itu. Cium dan peluk ia dengan khusyuk dan terus pergi tanpa menyebut “Jangan menangis, senyumlah sedikit” dan lain-lain.
Mungkin bagi kita, ibu dan ayah, adalah berat untuk meninggalkan anak yang sedang menangis. Anak menangis itu sekejap sahaja, lepas kita pergi, dia akan pulih dan sekiranya orang yang menjaga itu baik, terlatih dan sabar, anak akan terus merasa selamat dengannya.
Ibu dan ayah juga perlu membiasakan balik menemui anak secepat yang boleh. Jangan berlengah-lengah ke tempat lain. Jika terlambat oleh sebab perkara-perkara atau situasi yang tidak dapat dielakkan, eloklah menelefon anak dahulu atau memberitahunya sebelum meninggalkannya pada waktu pagi tadi.
Jika terlambat, jangan membiasakan membeli barang atau makanan sebagai hadiah untuk menggantikan kita. Jika kita mungkir janji dengan cara yang tidak kita sedari, kita juga telah mengajar anak kita menipu.
Situasi seterusnya; “Ain, sayang adik tak?” Ibu bertanya kepada anaknya yang berusia tiga tahun dan meletakkan adiknya yang berusia satu bulan ke atas riba kakaknya. “Tak sayang.” Jawab Ain menolak adiknya. “Eh, berdosa Ain tak sayang adik. Ain mesti sayang adik tau. Adik ini pun anak ibu juga”. Ibu Ain menjawab agak serius dan dukacita.
Apabila ini diperkatakan setiap hari dan apabila Ain memahami jawapannya tidak menggembirakan emaknya, dia akan membuat keputusan “saya akan jawab apa yang ibu mahu saya jawab” tetapi di dalam otak kecilnya masih berkata “tak sayang”.
Ini bermakna apabila Ain ditanya lagi soalan itu, dia akan menjawab “ Tentulah sayang ibu” tetapi sebenarnya dia belum lagi rasa sayang kepada adiknya dan ini bermakna dia telah mula menipu.
Bagaimana pula berhadapan dengan situasi ini.
Ain seharusnya telah diberitahu tentang ketibaan adiknya sejak dari dalam kandungan lagi. Ain juga digalakkan bercakap dan berhubung dengan adiknya dari dalam kandungan lagi. Malahan Ain boleh diberi penghormatan bersama-sama mencadangkan nama adiknya. Pendekatan bonding dengan adiknya ini boleh dibuat setiap hari.
Sekiranya ibu akan bersalin di hospital atau di klinik, Ain mestilah diberitahu tujuan ibunya ke hospital, di mana ibu akan melahirkan adik serta aan membawa adik itu pulang ke rumah.
Adalah baik jika pergi ke klinik atau hospital yang membenarkan suami dan anak-anak lain berada bersama semasa ibu hendak melahirkan anaknya. Dengan cara ini, Ain dapat ditemukan dengan adik barunya, sebaik sahaja adik dilahirkan.
Ain juga boleh bersama mengambil bahagian, membuat apa sahaja persediaan untuk menerima adik barunya seperti memilih baju, lampinnya, dan lain-lain lagi. Ain juga boleh mengambil bahagian menjaga adiknya seperti pergi mengambil lampin adik atau membantu menyapukan krim dan lain-lain.
Sambil ibu sibuk dengan adik baru, aktiviti Ain membaca, menulis, dan membuat sesuatu mesti diteruskan supaya Ain tidak rasa ketinggalan. Ayah juga perlu memainkan peranan membantu ibu.
Sekiranya ibu dan ayah menyediakan Ain sepenuhnya untuk menerima adik, persoalan “Sayang adik tak?” tidak perlu dilafazkan kerana ibu dan ayah sudah yakin Ain sayangkan adiknya.
Itu adalah dua situasi harian yang biasa dilalui tetapi kita tidak sedar ianya dapat menanamkan bibit-biti penipuan dalam pemikiran anak-anak. Berhati-hatilah dalam berkata-berkata dalam kehidupan kita seharian kerana mungkin secara tidak sengaja, kita telah mengajar anak kita menipu.


Dato' Dr. Norlaily bte Dato' Abu Bakar
Institut Pembangunan Keluarga dan Anak-anak NURY.


0 comments:

Post a Comment

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama...

Saya mula berminat mendalami proses perkembangan intelek anak, sejak kandungan pertama pada 2006. Dengan membaca buku2 keluaran NURY, memahami cara pengajaran Glenn Doman dan menggunakan kaedah fonik Bacalah Anakku dalam pengajaran dan pendekatan mendidik anak..


-Nurul Huda Nordin-


Blog Widget by LinkWithin

networkedblogs

 

Recommended Product

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

My Blog List

Pendidikan Awal Kanak-Kanak Copyright © 2009 Shopping Bag is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal